
Gastrik: Punca, Simptom dan Rawatan
Punca Gastrik
1. Jangkitan kuman Helicobacter Pylori
Jangkitan ini merupakan punca yang paling lazim menyebabkan radang astrik. H. pylori ialah bakteria yang menjangkiti dan menghakis lapisan perut, seterusnya membuatkan bahagian perut mudah terkena asid. Jangkitan ini biasanya tular daripada seseorang individu kepada individu lain, serta melalui makanan atau air yang tercemar.
2. Ubat tahan sakit
Penggunaan ubat tahan sakit seperti Aspirin dan Ibuprofen secara kerap boleh menyebabkan radang gastrik. Ubat ini mengurangkan pengeluaran prostaglandin, iaitu hormon yang menyebabkan kesakitan. Namun begitu, prostaglandin juga berfungsi bagi proses pengeluaran mukus perut untuk meneutralkan asid perut. Kekurangan hormon ini menyebabkan lapisan perut lebih mudah terdedah kepada asid perut.
3. Alkohol dan rokok
Pengambilan alkohol yang berlebihan serta merokok boleh mengakibatkan iritasi dan mengikis lapisan perut anda.
4. Tekanan
Setiap orang menangani tekanan secara berbeza, tetapi kegelisahan atau tekanan kronik boleh menyebabkan ketidakupayaan badan untuk bekerja dengan cekap. Tekanan ini juga boleh menyebabkan seseorang mengalami pelbagai gejala atau keadaan, termasuk gastrik akut.
5. Usia tua
Orang dewasa yang lebih tua mempunyai risiko radang gastrik yang lebih tinggi kerana pertambahan usia membuatkan lapisan perut cenderung untuk menjadi lebih nipis. Ini membuatkan mereka lebih mudah untuk dijangkiti kuman H.pylori.
6. Penyakit autoimun
Autoimun ialah keadaan di mana sistem imun menyerang sel badan. Bagi radang gastrik, ini berlaku apabila badan menyerang sel-sel yang membentuk lapisan perut. Reaksi ini mengganggu fungsi normal pelindung perut dan menyebabkan berlakunya radang gastrik. Contoh penyakit autoimun yang boleh menyebabkan radang gastrik termasuklah penyakit Hashimoto, Diabetes Jenis 1 dan kekurangan Vit B-12.